Komited Turun Padang, Fakhruddin Tinjau Sendiri Isu Tempatan Dihadapi Rakyat

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff terus komited menyantuni rakyat.

Kali ini beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebar turun padang ke Program Jelajah Aspirasi Pahang First bagi Daerah Raub Tahun 2025 yang berlangsung kelmarin di DUN Batu Talam.

“Lokasi pertama yang dilawati ialah Skim Perumahan Kos Rendah Awam (SPKA) Batu Talam, yang sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat. Hasil tinjauan mendapati punca utama banjir kilat tersebut adalah berpunca daripada masalah perparitan iaitu aliran keluar tepi jalan melalui longkang di bawah seliaan JKR.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak JKR telah pun membuat permohonan peruntukan sebanyak RM200 ribu bagi menyelesaikan isu ini.

“Insya-Allah, apabila dilaksanakan nanti, ia akan dapat memberi manfaat besar kepada penduduk setempat serta mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan kesulitan harian mereka,” katanya.

Sementara itu dalam usaha meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan kebersihan persekitaran, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan turut menyampaikan tong sampah baharu daripada SWCorp kepada penduduk SPKA Batu Talam.

Lawatan kemudiannya diteruskan ke tapak MyKiosk di Kampung Kundang Patah untuk meninjau kemudahan niaga bagi penjaja kecil dan usahawan tempatan.

Di kesempatan itu beliau turut berinteraksi secara santai bersama penduduk untuk mendapatkan maklum balas secara terus.

“Saya meninjau secara dekat sambil mendapatkan pandangan daripada para penjaja yang terlibat mengenai kemudahan yang disediakan serta cabaran yang mereka hadapi.

“Program MyKiosk ini diharap dapat memberi peluang kepada usahawan kecil dan penjaja tempatan untuk meningkatkan pendapatan, sekali gus merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat.

“Saya juga berkesempatan minum petang bersama-sama penduduk berhampiran, yang memberi ruang untuk mendengar pandangan dan cadangan mereka secara lebih santai dan mesra,” ujar beliau.

Katanya jelajah ini sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk mendekati rakyat, memahami cabaran di peringkat akar umbi dan merangka penyelesaian yang efektif demi kesejahteraan serta kemajuan negeri. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO