Cakna Rakyat: Mohamed Khaled Sampaikan Sumbangan One-Off Kepada Pelajar
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyampaikan Sumbangan One-Off untuk para pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf yang bakal melanjutkan pelajaran tidak lama lagi.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, usaha tersebut dilakukan sebagai galakan dan dorongan buat bakal mahasiswa.

“Berkesempatan menyampaikan Sumbangan One-Off kemasukan belajar untuk lepasan STPM dan setaraf bagi sesi akademik 2025/2026.
“Usaha yang dilakukan hari ini adalah sebagai pendekatan kami untuk memberi galakan dan dorongan buat bakal mahasiswa agar mereka dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada proses meningkat dan menguasai ilmu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading dan berharap agar peluang tersebut digunakan sebaiknya.
“Setiap tahun, tidak semua pelajar dari Parlimen Kota Tinggi berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading. Namun yang bertuah hari ini, diharap dapat menggunakan peluang ini dengan sebaiknya.
“Tahniah diucapkan kepada semua. Mudah-mudahan pada akhirnya nanti, ilmu yang ditimba itu akan membawa kejayaan dan kebahagiaan bukan sahaja kepada diri, malah kepada masyarakat dan negara,” katanya lagi.
Terdahulu, beliau juga berpeluang untuk bertemu para nelayan bagi memahami dengan lebih mendalam mengenai cabaran yang dihadapi mereka.

“Saya berpeluang bertemu para nelayan dari kawasan Sedil Kecil bagi memahami dengan lebih mendalam akan isu dan cabaran yang dihadapi serta mendengar keperluan yang diutarakan.
“Kita sedar para nelayan hari ini berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya ialah hasil tangkapan yang tidak lestari, kurangnya minat anak muda dalam aktiviti nelayan dan sebagainya.
“Namun begitu, Kota Tinggi masih memerlukan khidmat para nelayan ini dari segi tangkapan sumber hidupan laut. Lebih-lebih lagi Kota Tinggi khususnya Sedili kini sedang dibangunkan menjadi sebuah kawasan pelancongan tradisional,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa telah diadakan inisiatif pelepasan ketam oleh pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) demi memastikan para nelayan ini menjadi nelayan yang berjaya.
“Atas dasar itu, kita sentiasa cakna dan memberi jaminan untuk pastikan apa sahaja cabaran yang dihadapi oleh para nelayan ini akan diurus dengan baik dan nasib mereka terus dibela.
“Sebelum ini, telah diadakan inisiatif pelepasan benih ketam oleh pihak UMT. Akan datang, kita akan adakan kerjasama dengan universiti lain dalam soal benih udang galah dan sebagainya. Semua usaha ini pastinya adalah demi memastikan para nelayan ini menjadi nelayan yang berjaya,” katanya lagi. – UMNO Online
