UMNO Lahad Datu Santuni Rakyat, Teruskan Program Saling Mengasihi

LAHAD DATU, 25 Sept – UMNO Bahagian Lahad Datu di bawah pimpinan Ketua Bahagian, Sharif Musa Sharif Mabul terus melangkah ke hadapan dengan agenda kebajikan rakyat melalui Program Saling Mengasihi yang menjadi platform utama dalam menyantuni masyarakat setempat.

Program yang dilaksanakan secara berterusan ini sekali lagi membuktikan komitmen UMNO Lahad Datu dalam memastikan setiap golongan yang memerlukan tidak diketepikan, sebaliknya diberi perhatian sewajarnya, terutama dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin mencabar.

Sharif Musa berkata, kehadiran UMNO di tengah masyarakat bukanlah sekadar menyampaikan bantuan, tetapi lebih besar daripada itu adalah tanda kasih dan keprihatinan UMNO terhadap denyut nadi rakyat.

“Alhamdulillah, walaupun jadual amat padat dengan pelbagai program termasuk yang perlu, kami tetap mengutamakan rakyat di Lahad Datu. Kepada pemohon lain yang masih menunggu, Insya-Allah giliran anda akan sampai.

“Saya mohon maaf kerana sedikit kelewatan dalam menghantar bantuan, tetapi yakinlah bahawa UMNO Lahad Datu sentiasa peka dengan masalah rakyat. Kesakitan dan keperitan rakyat adalah kesakitan dan keperitan kami juga,” katanya.

Beliau bersama pasukan Nukleus UMNO Terengganu serta barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Lahad Datu telah menyalurkan sumbangan kewangan serta bakul makanan kepada lima keluarga yang memerlukan iaitu Nurima Bangsa, Dian Bandarasa, Salamah Alpasain, Fatimah Parihi dan Rafidah Muhaperhan.

Ujar Sharif Musa, program sebegini adalah bukti bahawa UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan wadah perjuangan rakyat yang sentiasa mencari jalan untuk meringankan beban mereka.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengunjungi keluarga mangsa kebakaran di Kampung Sepagaya Tengah, Nurul Athirah binti Mohamad, yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi tersebut.

Sharif Musa turut mengambil tindakan segera dengan melaporkan insiden kebakaran itu kepada Pengarah GiatMARA Negeri Sabah, untuk memohon peruntukan bagi pembinaan semula rumah PPRS baharu kepada mangsa.

“Langkah ini penting kerana kita mahu memastikan Nurul Athirah dan anak-anak dapat meneruskan kehidupan dengan lebih selesa. Kita faham, kehilangan rumah akibat kebakaran bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal tetapi juga emosi. Oleh itu, saya akan terus berusaha sedaya upaya agar beliau sekeluarga mendapat rumah PPRS baharu secepat mungkin.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Kami di UMNO Bahagian Lahad Datu akan terus bergerak, mendengar rintihan rakyat, dan menyelesaikan masalah mereka setakat yang terdaya. Inilah semangat perjuangan yang kami junjung sejak dahulu, demi agama, bangsa dan tanah air,” tegas Sharif Musa lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO