Hasil Bumi Bukan Dagangan Politik, Pengkhianatan Terbesar Kepada Rakyat Sabah – Datu Rosman
KOTA KINABALU, 25 Sept – UMNO Sabah mendakwa pendedahan video yang mengaitkan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan bersama beberapa pemimpin kanan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dengan sogokan jutaan ringgit membuktikan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang dilanda krisis integriti yang serius.
Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, menyifatkan isu itu sebagai pengkhianatan terbesar kepada rakyat Sabah kerana melibatkan lesen perlombongan sumber asli milik negeri yang didakwa dijadikan bahan dagangan politik.

“Jika sebelum ini rakyat hanya mendengar desas-desus, kini bukti sudah terhidang. Apa yang terbongkar bukan sekadar kelemahan seorang dua pemimpin, tetapi seluruh jentera GRS yang beroperasi atas budaya sogokan. Ikan busuk bermula dari kepala, maka jelaslah pentadbiran GRS itu sendiri sudah hancur,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, lebih memalukan apabila hasil bumi Sabah tergadai hanya untuk membeli kesetiaan politik. Katanya, tindakan itu bukan sahaja salah guna kuasa, malah satu pengkhianatan terang-terangan terhadap maruah negeri.
Datu Rosman turut mempersoalkan sikap berdiam diri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berhubung isu berkenaan.
“Semua nama besar GRS disebut, tetapi Ketua Menteri memilih untuk bersembunyi. Diamnya bukan tanda berani, sebaliknya kerana takut seluruh tembok politik GRS runtuh bersama-sama kepimpinannya,” tegasnya.
Beliau menambah, kerajaan GRS kini dilihat tidak lagi diperintah dengan dasar atau visi, sebaliknya berlandaskan sogokan, jual beli projek dan lesen semata-mata bagi memastikan kuasa kekal digenggam.
“GRS mungkin masih duduk di kerusi kuasa, tetapi mereka sudah kehilangan maruah dan kelayakan moral untuk memimpin. Kuasa tanpa integriti hanyalah ilusi. Sebuah kerajaan yang lahir daripada rahim sogokan hanya akan melahirkan pengkhianatan demi pengkhianatan,” katanya.
Datu Rosman menegaskan, rakyat kini semakin jelas bahawa GRS bukan lagi sebuah kerajaan yang sah dari segi moral, sebaliknya telah menjadi “kartel politik paling busuk dalam sejarah Sabah.” – UMNO Online
