Guna Kes Bung Moktar… GRS Jangan Alih Isu Skandal Aset Sabah
BELURAN, 25 Sept – Ketua Penerangan Pemuda BNCom Beluran, Mohd Ardiawan Yakob, menyifatkan tindakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menggunakan kes Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai serangan terhadap UMNO Sabah hanyalah usaha murahan untuk mengalihkan perhatian daripada skandal sebenar yang membelit kepimpinan mereka.
Menurutnya, kes yang melibatkan Bung Moktar hanyalah berhubung pelaburan unit amanah bernilai RM2.8 juta dan tidak menyentuh soal tanah, mineral atau aset negeri digadai.

“Pada 7 September 2023, Mahkamah Tinggi telah membebaskan dan melepaskan Datuk Seri Bung Moktar dan isteri daripada semua tuduhan selepas meneliti bukti dan mendapati tiada asas kukuh. Hakikatnya, tiada saksi yang membuktikan beliau menerima wang,” katanya.
Beliau menegaskan, Bung Moktar tidak pernah mengelak proses undang-undang sejak 2019 malah hadir setiap prosiding serta memberi kerjasama penuh, sekali gus membuktikan ketelusan dan prinsip keadilan yang dipegangnya.
Sebaliknya, kata Ardiawan, skandal yang melibatkan GRS lebih serius kerana ia berkait tanah negeri, lesen mineral dan sumber berbilion ringgit yang didagangkan demi kepentingan politik.
“Ini bukan kes teknikal individu, tetapi bentuk grand corruption yang benar-benar menggadai kedaulatan negeri. Rakyat perlu bertanya, jika benar kes Bung Moktar bukti rasuah, kenapa mahkamah membebaskan beliau?” ujarnya.
Ardiawan menambah, sejarah politik negara membuktikan ramai pemimpin berpengaruh menjadi mangsa “trial by process”, di mana tuduhan digembar-gemburkan untuk merosakkan imej tetapi akhirnya kebenaran juga terbukti.
“Pepatah Melayu ada mengingatkan, gajah di pelupuk mata tidak nampak, kuman di seberang lautan nampak. Hari ini, GRS sibuk menyerang Bung, sedangkan skandal yang lebih besar sedang membusukkan mereka sendiri,” tegasnya lagi. – UMNO Online
