Alhamdulillah… Projek Tebatan Banjir Lenggong Dan Gerik Bakal Dilaksana
KUALA LUMPUR, 25 Sept – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan serta semua pihak terlibat selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Lenggong yang sekian lama dinanti akhirnya bakal dilaksanakan tidak lama lagi.
Beliau berkata, sebanyak RM20 juta telah diluluskan tahun ini bagi pelaksanaan RTB Lenggong Fasa 1, dengan proses tender telah pun dibuat.
“Sejak saya menjadi Ahli Parlimen Lenggong pada 2008, antara fokus utama saya adalah menyelesaikan masalah banjir di kawasan ini. Alhamdulillah, biarpun projek ini tidak menyelesaikan semua masalah, ia sekurang-kurangnya akan membantu mengurangkan kesan banjir yang sering berlaku. Saya berharap pelaksanaannya berjalan mengikut jadual,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Selain itu, Dr. Shamsul Anuar turut menghadiri mesyuarat dan taklimat berhubung projek RTB Gerik yang sebahagiannya melibatkan kawasan Parlimen Lenggong.
Antara kawasan yang terlibat ialah Padang Kunyit, Kampung Padang dan Kuala Kenderong, yang dijangka mendapat manfaat daripada projek tebatan banjir tersebut.
“Projek RTB Gerik ini juga akan membantu menyelesaikan beberapa masalah banjir yang menjejaskan sebahagian kawasan dalam Parlimen Lenggong,” jelas beliau. – UMNO Online
