Urbanisasi & URA Perlukan Penelitian Mendalam – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Beberapa perkara yang berkaitan dengan urbanisasi dan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) menjadi topik perbahasan yang cukup menarik dan dikupas dengan sebaiknya menerusi BN Forum Siri ke-8: Urbanisasi & URA semalam.

Tempoh yang singkat dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan ahli panel yang terdiri daripada Menteri Perladangan dan Komuniti yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Ghani; selain Penganalisis, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai dan Pakar Perancangan Bandar, Dr Shuhana Shamsuddin.

Program tersebut yang dihoskan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir turut memberi peluang kepada khalayak yang turut serta berada di Auditorium UMNO dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Bagi Johari URA menimbulkan keguasaran kepada masyarakat kerana ianya melibatkan beberapa faktor yang dibimbangi akan menyebabkan penduduk asal menjadi mangsa keadaan.

Mengambil contoh pemindahan dan pembangunan di kawasan Flat Tun Razak, Pekeliling, beliau menyatakan perkara berkenaan sehingga ke hari ini masih belum selesai dan pembangunan yang dirancang tidak berjalan sebaiknya.

“50 tahun dahulu ada 12 blok di Flat Tun Razak Pekeling berhampran Hospital Tawakkal. Masyarakat duduk di situ gembira… Melayu, Cina India ada. Re-development berlaku 15-16 tahun yang lalu. Pemaju datang dan cerita kita akan buat pembangunan ini dan akan tukar flat ini bagi kepada yang lebih baik.

“Mereka di kawasan ini berpindah ke Desa Rejang dan kawasan ini tidak ada lagi pembangunan dan sebagainya. Ada sebahagian lagi yang tidak pindah kerana mereka mengatakan rumah berkenaan adalah milik masing-masing.

“Jadi bincang dengan pemjau pada ketika itu dan dijanjikan mereka akan balik dalam tempoh empat tahun, maka mereka pun pindah ke flat sementara dipanggil Flat Terengganu dan menunggu unit rumah mereka dipulangkan. Namun hari ini sudah lebih 16 tahun tapi projek pun tidak siap … apa pun tidak siap,” katanya.

Kata beliau lagi sebelum URA, banyak kawasan telah dibangunkan dan memerlukan pembangunan serta penyesuaian semula.

“Jadi inilah yang saya nak cakap bahawa kita nak buat re-development ini… Malaysia dah buat tetapi mengikut fasa. Sekarang ini kita dah masuk zaman ini. Jadi apabila masuk zaman ini maka hari ini kita mahu tengok akta yang ada dalam pembangunan ini bagaimana… bagaimana kita mahu mewujudkan ekosistem untuk menjaga hak milik dan perkara-perkara lain.

“Inilah yang menyebabkan rakyat tidak puas hati. Orang akan cakap apa yang dinyatakan ini ikut saya tetapi sebenarnya ini adalah ‘feedback’ daripada orang ramai dan ini adalah ‘real feedback’,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO