Johor Komited Perkukuh Agenda Bandar Pintar, Inklusif Dan Lestari – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 24 Sept – Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, terus komited memperkukuh agenda Maju Johor melalui pembangunan bandar pintar yang inklusif, mesra rakyat serta seimbang dari segi ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata segala inisiatif ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat negeri ini menikmati kehidupan yang lebih berkualiti, selamat dan sejahtera dalam persekitaran yang terancang.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor, saya merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat iaitu para perancang, ahli akademik, warga PBT, pihak industri dan komuniti yang menyumbang kepakaran, buah fikiran serta tenaga dalam menjayakan agenda perancangan bandar. Tanpa sumbangan idea dan kreativiti, usaha menjadikan Johor sebagai negeri maju dan pintar tidak dapat direalisasikan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Malam tadi, beliau mewakili Menteri Besar Johor ke Majlis Town Planning & Smart City Appreciation Night sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2025 Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Persada Johor International Convention Centre.

Jelasnya, majlis berprestij itu menghimpunkan para perancang bandar, arkitek dasar dan pemain industri yang telah memberi sumbangan besar dalam membentuk landskap pembangunan Johor moden dan sejahtera.

“Dalam majlis ini, turut disampaikan Anugerah Khas Smart City Leadership, Urban Leadership serta Tokoh Perancang Bandar Johor 2025 penghormatan tertinggi kepada insan-insan yang menjadi pencetus idea dan penggerak kepada agenda Johor sebagai negeri perintis dalam pembangunan bandar pintar di Malaysia.

Mohd Jafni menegaskan, kejayaan ini adalah pengiktirafan terhadap usaha gigih dan dedikasi semua pihak yang mahu melihat bandar Johor berkembang dengan lebih terancang, lestari serta berpaksikan rakyat.

“Sesungguhnya, inilah bukti bahawa daya cipta, kreativiti dan inovasi rakyat Johor terus dihargai serta diraikan.

“Sekali lagi, tahniah kepada semua pemenang dan penerima anugerah. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi untuk kita semua terus bekerja dengan lebih tekun, menyumbang dengan lebih ikhlas, dan berinovasi dengan lebih berani demi memastikan Johor dan Malaysia kekal cemerlang sebagai contoh pembangunan bandar pintar yang disegani di rantau ini,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO