Ahmad Zahid Hubungi Wakil Malaysia Di Sumud Flotilla, Seru Sama-sama Doakan Keselamatan

KUALA LUMPUR, 24 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam misi kemanusiaan ke Gaza selepas timbul laporan mengenai serangan terhadap konvoi tersebut.

Beliau yang Presiden UMNO berkata ini kerana nyawa serta keselamatan para sukarelawan menjadi taruhan ketika mereka berdepan pelbagai risiko.

“Alhamdulillah, saya berpeluang melakukan panggilan video bersama Musa Al-Nuwayri, salah seorang rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi ini.

“Sedikit kelegaan apabila saya dapat mendengar perkhabaran mereka secara langsung.

“Kesemua mereka selamat dan semangat mereka untuk meneruskan misi ini tetap teguh meskipun berhadapan dengan pelbagai risiko dan cabaran,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan keselamatan para peserta flotilla dan seluruh rakyat Palestin.

“Semoga misi ini dipermudahkan dan bantuan sampai kepada saudara-saudara kita di Gaza.

“Doa kita adalah senjata, solidariti kita adalah kekuatan,” katanya.

Memasuki hari ke-24, kumpulan konvoi GSF yang memulakan pelayaran dari Barcelona kini semakin hampir dalam perjalanan menuju ke Gaza.

Untuk rekod, pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini, membabitkan lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.

GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah, dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis Gaza. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO