MINDEF: Malaysia Terima 14 UAV Dari Jepun, Komited Perkukuh Kerjasama
KUALA LUMPUR, 23 Sept – Malaysia telah menjadi penerima terawal di bawah Inisiatif Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) meliputi 14 Pesawat Udara Tanpa Pemandu (UAV) dari Kerajaan Jepun.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menghadiri majlis Majlis Penyerahan Rasmi UAV di bawah Inisiatif OSA di Kompleks Haigate Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada Selasa.

“Berbesar hati menghadiri Majlis Penyerahan Rasmi UAV di bawah Inisiatif OSA, sumbangan kerajaan Jepun di Kompleks Haigate ATM.
“Majlis ini bukan sekadar tentang penyerahan aset pertahanan, tetapi melambangkan kepercayaan, solidariti dan visi bersama dalam memperkukuh kesiagaan operasi, demi keamanan, kestabilan serta kemakmuran serantau.
“Sejak terjalin hubungan diplomatik pada 1957, kerjasama Malaysia-Jepun terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan, budaya dan pertahanan,” katanya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Malaysia turut berbangga menjadi antara penerima terawal di bawah OSA dengan peruntukan bernilai RM12.63 juta meliputi 14 UAV dan tujuh bot penyelamat.

“Perjanjian Pemindahan Peralatan & Teknologi Pertahanan 2018, memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Pertahanan dan latihan bersama menjadi bukti hubungan pertahanan yang produktif serta bermakna.
“Malaysia turut berbangga menjadi antara penerima terawal di bawah OSA, dengan peruntukan bernilai RM12.63 juta meliputi 14 UAV dan tujuh bot penyelamat. Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Jepun, khususnya kepada Duta Besar Jepun ke Malaysia, TYT Shikata Noriyuki.
“Malaysia komited untuk terus memperkukuh kerjasama dengan Jepun, termasuk dalam bidang baharu seperti AI, pertahanan siber dan inovasi untuk keamanan serta pembangunan yang mampan,” katanya lagi. – UMNO Online
