MARA Kembali Hantar Pelajar Perubatan Ke Mesir

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Majlis Amanah Rakyat (MARA) kembali menghantar para pelajar untuk melanjutkan pengajian ke Mesir dalam bidang perubatan selari dengan dasar kerajaan untuk memperluas peluang pendidikan dalam bidang kritikal, kata Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Asyraf yang juga Setiausaha Agung UMNO memaklumkan seramai 42 orang pelajar akan berangkat ke Mesir manakala 91 orang pelajar ke Korea Selatan.

“Hari ini saya berkesempatan bertemu dengan pelajar-pelajar tajaan MARA yang bakal berlepas ke Mesir dan Korea Selatan dalam Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA bagi sesi 2025 yang berlangsung di Anjung Korporat MARA.

“Seramai 42 orang pelajar akan berangkat ke Mesir manakala 91 orang pelajar ke Korea Selatan untuk melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai bidang strategik seperti perubatan, pergigian, automasi dan teknologi maklumat.

“Tahun ini turut mencatat sejarah baharu apabila MARA kembali menghantar pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar, Mesir setelah kali terakhir pada tahun 2013 manakala pelajar dalam bidang pergigian kali terakhir dihantar pada tahun 2019,” katanya.

Ujarnya, MARA juga berjaya memperoleh pengurangan yuran pengajian hasil rundingan bersama Presiden Universiti Al-Azhar.

“Penghantaran semula ini adalah selari dengan dasar kerajaan untuk memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang kritikal dengan kos yang jauh lebih rendah daripada universiti tempatan.

“Lebih membanggakan, hasil rundingan yang dijalankan awal tahun ini dengan Presiden Universiti Al-Azhar, MARA berjaya memperoleh pengurangan yuran pengajian, hanya RM90,000 untuk setiap pelajar dalam bidang perubatan bagi tempoh lima tahun pengajian. Ini adalah satu penjimatan besar demi kelangsungan pendidikan anak bangsa.

“Alhamdulillah, saya juga sempat bertukar soalan dan pandangan bersama anak-anak ini. Melihat kesungguhan, semangat serta cita-cita besar mereka, saya yakin mereka akan menjadi duta kecil negara, menimba ilmu dengan sebaiknya dan Insya-Allah akan kembali sebagai tenaga pakar yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO