Isu Buli Kanak-kanak Perlu Rehabilitasi, Bukan Hukuman Semata

HANG TUAH JAYA, 22 Sept – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan bahawa pendekatan terhadap isu melibatkan kanak-kanak perlu merangkumi elemen rehabilitasi dan bukan sekadar hukuman.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ini termasuk membabitkan isu buli melibatkan kanak-kanak.

Katanya reformasi terhadap sistem perlindungan kanak-kanak perlu seiring dengan cabaran semasa agar golongan tersebut benar-benar diberi peluang kedua dan bukan terus dihukum tanpa bimbingan.

“Itu sebab Pejabat Pesuruhjaya Kanak-kanak apabila bercakap tentang isu ini bukan sekadar hukuman tetapi rehabilitasi.

“Sebab kadang-kadang kanak-kanak yang jadi mangsa dan pelaku kalau diberi peluang seperti dikatakan Pesuruhjaya Kanak-kanak bahawa mereka akan jadi manusia yang lebih baik,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika Town Hall Antibuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Negeri Melaka Dan Negeri Sembilan Anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri yang berlangsung di Auditorium Masjid Al-Azim Kampung Bukit Palah di sini hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan terbuka untuk mendapatkan sebarang maklum balas daripada semua pihak, bagi penambahbaikan sebelum Akta Antibuli yang akan dibawa di Parlimen pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, beliau turut memberi bayangan BHEUU akan mengadakan sesi dialog awam dengan kanak-kanak bagi mendapatkan maklum balas golongan itu.

“Mungkin kita akan buat bersama-sama Pesuruhjaya Kanak-kanak… kita panggil kanak-kanak, biar kita bercakap dan tanya pendapat mereka sebab undang-undang ini melibatkan mereka.

“Mungkin mereka pun ada pandangan, cadangan atau kritikan sebab hari ini, anak-anak begitu bijak, peka terhadap media sosial dan sebagainya. Mungkin mereka akan memberi kita maklumat yang kita tidak sedar sebagai orang dewasa,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO