BUDI95: Tindakan Berprinsip, Penuh Prihatin Terhadap Rakyat – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 22 Sept – Pelaksanaan Budi Madani RON95 (BUDI95) dilihat sebagai usaha yang berprinsip dan penuh keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebook memberi reaksi positif dan beliau menyambut baik usaha tersebut yang membolehkan rakyat Malaysia menikmati minyak petrol RON95 dengan harga RM1.99 seliter.

“Saya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi September 2025 di Dewan De’ Seri Endon pagi tadi berhubung penyasaran subsidi RON95 melalui BUDI95.
“Melalui inisiatif ini, harga RON95 untuk rakyat Malaysia dikurangkan daripada RM2.05 seliter kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025,” katanya.
Ujarnya, hanya warganegara Malaysia yang layak untuk menikmati insentif tersebut manakala bukan warganegara dan syarikat-syarikat besar akan membayar harga tanpa subsidi sekitar RM2.60.
“Hanya warganegara Malaysia akan menikmati subsidi ini, manakala bukan warganegara dan syarikat besar akan membayar harga tanpa subsidi sekitar RM2.60 seliter.
“Sebagai sebahagian daripada kepimpinan negara, saya melihat keputusan ini sebagai tindakan berprinsip dan penuh keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah, kita akan terus mendukung usaha Kerajaan demi Malaysia yang lebih adil, mampan dan inklusif,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan kerajaan akan melaksanakan Program BUDI95 dengan setiap rakyat Malaysia menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi petrol RON95 bermula 30 September ini.
Seiring dengan pelaksanaan tersebut, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, harga RON95 turut diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter, manakala bukan warganegara akan dikenakan harga RM2.60 seliter.
Melalui BUDI95, beliau berkata, semua warganegara Malaysia tanpa mengira tahap pendapatan dan mempunyai lesen memandu yang sah serta aktif akan secara automatik menikmati manfaat tersebut. – UMNO Online
