Pemuda UMNO Sabah Gesa Syarikat Besar Hulur Bantuan Banjir, Tanggungjawab Bersama
KINABATANGAN, 20 Sept – Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merangkap Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, Naim Moktar, menzahirkan rasa dukacita dengan sikap membisu syarikat-syarikat besar yang beroperasi di Sabah ketika negeri itu sedang berdepan bencana banjir besar yang telah meragut 14 nyawa, menenggelamkan ribuan rumah serta memaksa puluhan ribu rakyat hidup dalam penderitaan.
Beliau menegaskan, tragedi ini bukan sekadar angka atau statistik, sebaliknya menggambarkan realiti penuh air mata, kehilangan, dan kesengsaraan rakyat Sabah yang memerlukan perhatian segera.

“Amat mendukacitakan apabila syarikat-syarikat besar yang selama ini mengaut keuntungan daripada bumi Sabah masih membisu seribu bahasa. Di mana tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka? Di mana jiwa kemanusiaan ketika rakyat Sabah sedang merintih?” soal beliau.
Menurutnya, berbeza dengan keadaan di Semenanjung apabila syarikat gergasi berebut-rebut menyalurkan bantuan setiap kali bencana melanda, Sabah seolah-olah terpinggir apabila suara mereka lenyap.
“Apakah nyawa rakyat Sabah tidak sama nilainya dengan nyawa rakyat di tempat lain? Jika anda boleh meraih keuntungan dari hasil bumi Sabah, maka jangan sekali-kali berpaling muka ketika rakyat Sabah ditimpa musibah,” tegas Naim.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua syarikat yang beroperasi di negeri ini tampil segera menghulurkan bantuan sebagai tanda kebersamaan dan rasa tanggungjawab.
“Bencana ini tidak boleh ditanggung sendirian. Sabah bukan anak tiri Malaysia. Rakyat Sabah berhak mendapat sokongan penuh, perhatian penuh, dan bantuan segera daripada semua pihak. Marilah kita berganding bahu. Jangan biarkan rakyat Sabah terus hanyut dalam derita, sementara yang lain hanya menjadi penonton bisu,” katanya lagi. – UMNO Online
