Sambutan Maulidur Rasul Eratkan Ukhwah Masyarakat Jempol – Shamsulkahar

JEMPOL, 19 Sept – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamsulkahar Mohd Deli menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan sambutan Maulidur Rasul peringkat Parlimen Jempol.

Jelasnya, kejayaan penganjuran ini adalah hasil kerjasama erat pelbagai agensi dan jabatan yang berganding bahu bagi memastikan perarakan tersebut berjalan dengan lancar.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada pihak penganjur, khususnya semua agensi dan jabatan yang telah berganding bahu dalam memastikan perarakan sambutan Maulidur Rasul dapat dilaksanakan dengan begitu baik. Usaha ini mencerminkan semangat ukhuwah dan kerjasama erat dalam kalangan masyarakat Islam di daerah Jempol.

“Program ini diadakan dengan objektif utama untuk memperingati dan menzahirkan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping memperkukuh penghayatan sirah baginda dalam kehidupan seharian.

“Sambutan ini juga diharap dapat membangkitkan semangat juang, akhlak mulia serta penghayatan nilai Islam dalam masyarakat kita,” katanya selepas merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Sri Jempol, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir; penceramah undangan dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmidan kepimpinan setempat.

Mengulas lanjut, Shamsulkahar yang juga Pengerusi Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) berkata, karnival berkenaan bukan saja meriah dengan pelbagai aktiviti, malah juga mengangkat semangat kebersamaan umat Islam.

“Karnival ini diharap menjadi wadah untuk memperkukuhkan perpaduan umat Islam. Dalam dunia hari ini, kita berdepan dengan pelbagai cabaran, sama ada dari segi sosial, ekonomi, mahupun teknologi.

“Seramai 35 kontijen dari pelbagai jabatan di daerah Jempol yang telah mengambil bahagian dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul termasuk pertandingan marhaban, azan, mimbar daie, kisah-kisah rasul dan juga gubahan buah-buahan,” katanya.

Ujar Shamsulkahar lagi, penghayatan ajaran Islam serta semangat kebersamaan amat penting bagi memastikan umat Islam terus teguh, bersatu padu dan disegani. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO