Industri Halal: Lebih Dari Pematuhan, Medan Inovasi dan Peluang Global – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa industri halal tidak harus dilihat hanya sebagai soal pematuhan semata-mata, sebaliknya ia merupakan platform besar yang mencetuskan inovasi, menambah nilai ekonomi serta membuka peluang luas kepada masyarakat.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Majlis Perasmian Global Halal Summit (GHaS) 2025 yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Pameran serta penyertaan daripada pelbagai negara menunjukkan bahawa ekosistem halal adalah satu ekosistem inklusif dan progresif.
“Ia bukan hanya mematuhi standard tertentu, tetapi menjadi pemangkin kreativiti, inovasi dan peluang yang mampu dimanfaatkan oleh semua lapisan masyarakat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Menurut beliau, transformasi proses permohonan sijil halal yang kini lebih pantas adalah antara langkah yang diambil kerajaan bagi memperkukuh kecekapan serta memastikan industri halal Malaysia terus berdaya saing di peringkat global.
Malaysia, jelas beliau, telah lama menjadi peneraju dalam industri halal antarabangsa hasil kepakaran, pengalaman serta keyakinan global terhadap sistem pensijilan halal negara.
“Insya-Allah, Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan semua pihak untuk mengekalkan kedudukannya sebagai hab halal bertaraf dunia dan rujukan utama global,” ujar beliau.
Majlis berprestij itu turut menghimpunkan delegasi antarabangsa, penggiat industri serta rakan strategik dari seluruh dunia yang sepakat memperkukuh ekosistem halal global ke arah lebih inklusif dan berdaya tahan. – UMNO Online
