Belanjawan Negeri Pahang 2026 Realistik, Berdaya Maju dan Berpihak Kepada Rakyat
AYER KEROH, 19 Sept – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan bahawa Belanjawan Negeri Pahang 2026 akan digubal dengan pendekatan yang realistik, berdaya maju dan benar-benar berpihak kepada rakyat.
Menurut beliau, iltizam bersama antara kerajaan negeri, agensi-agensi terlibat serta kakitangan pentadbiran membuktikan semangat berpasukan yang kukuh dalam memastikan belanjawan yang bakal dibentangkan kelak memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat Pahang.

“Insya-Allah, dengan iltizam bersama, Belanjawan Negeri Pahang 2026 akan menjadi sebuah belanjawan yang realistik, berdaya maju dan benar-benar berpihak kepada rakyat.”
Beliau berkata demikian selepas menerusi hantaran dalam laman Facebooknya selepas selesai Retreat Belanjawan Negeri Pahang 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Ayer Keroh, Melaka.
Ujarnya, retreat ini bukan sekadar sesi perbincangan biasa, tetapi wadah untuk menggembleng idea, merangka strategi serta mencapai kesepakatan demi memastikan Belanjawan 2026 benar-benar memberi manfaat yang menyeluruh kepada rakyat Pahang.
Terdahulu beliau merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua yang terlibat.
“Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua yang terlibat merangkumi Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai daripada 60 agensi yang hadir dan memberikan sumbangan berharga serta pegawai dan kakitangan Pejabat Kewangan Negeri yang mengendalikan retreat ini.
“Idea, hujah dan komitmen yang diberikan membuktikan bahawa kita bergerak seiring sebagai satu pasukan,” katanya lagi. – UMNO Online
