Banjir Sabah: Puteri UMNO Seru Orang Ramai Salur Sumbangan

KUALA LUMPUR, 19 Sept – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menerusi Biro Kebajikan dan Aduan Awam bersama Puteri UMNO Sabah menyeru orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir yang terjejas di negeri itu.

Pengerusi Biro Kebajikan dan Aduan Awam Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Dayang Nurazlin Nordin berkata, sumbangan-sumbangan tersebut boleh dihantar terus ke Pejabat UMNO Bahagian Kimanis.

“Seperti yang kita maklum, hujan berterusan sejak kebelakangan ini telah mengakibatkan banjir teruk di Negeri Sabah.

“Sehubungan itu, Biro Kebajikan Puteri UMNO Malaysia bersama Puteri UMNO Negeri Sabah dengan rendah hati menyeru orang ramai untuk turut sama menyalurkan sumbangan berbentuk keperluan asas, makanan, minuman, toto, bantal, selimut serta wang tunai bagi meringankan beban mangsa yang terkesan.

“Semoga setiap sumbangan dihulurkan menjadi amal jariah dan sedikit sebanyak membantu mereka yang sedang diuji. Keperluan utama ketika ini ialah sumbangan berupa makanan dan minuman, kelengkapan tidur seperti toto, bantal serta selimut,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, sebarang pertanyaan ataupun urusan berkaitan sumbangan tersebut boleh diajukan menerusi talian ‘hotline’ yang disediakan.

“Untuk sebarang pertanyaan ataupun urusan berkaitan sumbangan boleh hubungi Dayang di talian 019-6020409; Ummi di talian 014-2823703 dan Humaira (011-16832712).

“Manakala tempat pengumpulan barangan sumbangan juga boleh dihubungi menerusi Nora di talian 016-8603024 dan Eyraa (017-8182817),” katanya lagi.

Setakat jam 6.00 pagi Jumaat media melaporkan Sabah dan Sarawak kekal sebagai dua negeri yang masih terjejas akibat banjir, dengan jumlah keseluruhan mangsa mencecah 2,655 orang.

Menurut kemas kini terkini daripada laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 24 pusat pemindahan sementara (PPS) dan pusat pemindahan kekal masih beroperasi di kedua-dua negeri bagi menempatkan mangsa banjir.

Di Sabah, sebanyak 22 PPS dibuka melibatkan 2,574 mangsa daripada 846 keluarga.

Enam daerah yang masih terjejas ialah Membakut, Sipitang, Penampang, Papar, Beaufort dan Putatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO