Tanah Kampung Sungai Baru Kurniaan Sultan Selangor, Hak Orang Melayu – Johari
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Tanah di Kampung Sungai Baru adalah hak orang Melayu, tegas Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata, tanah itu adalah hak milik kaum berkenaan yang dikurniakan oleh Sultan Selangor pada zaman British.
Namun, katanya, kesilapan berlaku antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang mana tanah berkenaan tidak digazetkan ketika itu, sehingga berlakunya pertukaran pemilik dan diberikan kepada Malay Agricultural Settlement (MAS).

“MAS yang mempunyai satu badan kawal selia dan ketika itu Sungai Baru berada di tepi sungai jadi tiada lot diberi sehingga sungai dibesarkan dan jadi tanah biasa.
“Kerajaan Selangor ketika itu mendapati ada baki tanah dan mahu buat rumah flat kerana ramai orang datang nak duduk dekat Kampung Baru ketika itu, maka mereka buat rumah flat yang mempunyai lebih 200 unit.
“Kerajaan negeri itu sudah membuat keputusan bahawa tanah berkenaan milik orang Melayu, tapi masalah berlaku apabila diwujudkan Wilayah Persekutuan dan dibuat pembangunan semula,” katanya dalam Podcast Utama di TV3, malam tadi.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, pihaknya sudah meminta pemaju kawasan berkenaan untuk membina rumah yang mampu dibeli orang Melayu.
Menurutnya, beliau tetap mempertahankan kawasan itu sebagai penempatan orang Melayu dan meminta pemaju supaya membina dua blok perumahan kepada penduduk asal yang dipindahkan sementara, bagi mengembalikan kepercayaan mereka.
Ditanya mengenai mekanisme kawalan untuk harga rumah orang Melayu di kawasan berkenaan, beliau berkata, pemaju perlu mengambil kira soal harga yang berpatutan memandangkan tanah diperoleh juga pada harga yang rendah.
Beliau memberi contoh mengenai pembangunan Kampung Baru kepada orang Melayu yang mana pemaju UDA Holdings Berhad ketika itu khuatir tidak dapat terjual.
Bagaimanapun, katanya, projek pembangunan itu berjaya apabila keseluruhan kediaman yang dijual pada harga antara RM300,000 hingga RM900,000 habis dibeli, walaupun mengambil masa lama. – HMetro
