Pemuda UMNO Bantu Mangsa Banjir Sabah, Fokus Bekalan Air dan Keperluan Bayi

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tampil menghulurkan bantuan segera kepada mangsa banjir di Sabah, khususnya dalam penyediaan bekalan asas yang semakin berkurangan seperti air mineral dan lampin pakai buang bayi.

Ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata antara cabaran utama yang dihadapi penduduk terjejas adalah gangguan bekalan air bersih, menjadikan ia sebagai keperluan paling mendesak ketika ini.

“Difahamkan antara keperluan asas yang sangat diperlukan bagi saudara kita di Sabah yang sedang diduga akibat banjir kali ini adalah keperluan air mineral dan pampers untuk anak-anak.

“Ini disebabkan bekalan air di kebanyakkan tempat telah terputus,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dr Akmal dalam pada itu turut sama memohon kerjasama mana-mana pihak di negeri itu yang mempunyai maklumat berkenaan sumber bekalan air mineral tambahan agar dapat menyalurkan maklumat kepada mereka.

“Insya-Allah kita telah gerakkan pemuda untuk mencari bekalan air mineral dan pampers sekitar negeri Sabah untuk diagihkan pada saudara kita yang terjejas

“Jika ada mana-mana pihak yang boleh maklumkan kepada kami di mana sumber air mineral tambahan yang boleh kami dapatkan di Sabah ini boleh maklumkan agar urusan untuk membantu saudara kita di Sabah ini dapat dipermudahkan

“Kita semua bersaudara,” ujar beliau.

Terdahulu menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, mangsa banjir meningkat kepada 2,919 orang daripada 814 keluarga pada petang semalam berbanding 2,897 orang daripada 813 keluarga pagi tadi di 25 PPS dan sebuah Pusat Pemindahan Kekal (PPK) di Selagon, Beaufort.

Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa setakat semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Isnin meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO