Johor Perkenal 42 Inisiatif Tambahan, Bukti Keprihatinan Kerajaan Terhadap Rakyat

JOHOR BAHRU, 18 Sept – Kerajaan Johor terus menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan rakyat dengan memperkenalkan 42 inisiatif tambahan demi kesejahteraan masyarakat.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor merangkap Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, daripada jumlah tersebut, 25 inisiatif memberi tumpuan khusus untuk membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Bantuan tunai ‘one-off’ diberikan kepada mahasiswa, pelajar sekolah, warga emas, anak yatim, pemandu e-hailing, nelayan serta penternak. Ini membuktikan kerajaan Johor menyantuni pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengabaikan mana-mana golongan,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebooknya.

Selain bantuan kebajikan, inisiatif berkenaan turut menyokong usahawan mikro dan komuniti bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan. Beliau menegaskan bahawa sokongan kepada usahawan kecil amat penting kerana mereka merupakan antara penggerak utama ekonomi negeri.

“Matlamat utama kerajaan negeri adalah untuk memastikan Johor terus maju, stabil, dan sejahtera. Setiap langkah yang diambil ini jelas membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjadikan Johor sebuah negeri yang inklusif serta pro-rakyat,” ujarnya.

Inisiatif ini dilihat bukan sahaja mampu memberi bantuan segera, malah menjadikan rakyat lebih berdaya tahan menghadapi cabaran hidup, sekali gus menjamin masa depan Johor yang lebih makmur. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO