Inisiatif Baharu Bukti Kerajaan Negeri Johor Prihatin Keperluan Rakyat

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Inisiatif baharu Kerajaan Negeri Johor membuktikan bahawa mereka prihatin akan keperluan rakyat khususnya golongan B40, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Mohd Iqbal Md Yusof.

Ujarnya, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif tersebut yang memperuntukkan RM209 juta merangkumi 42 inisiatif.

“Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor melalui peruntukan berjumlah RM209 juta bagi 42 inisiatif baru untuk Bangsa Johor termasuk dua inisiatif dari Exco Agama, Mohd Fared Mohd Khalid.

“Antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah infaq Jumaat RM1.72 juta, disalurkan kepada 132 masjid di seluruh negeri Johor untuk mengimarahkan rumah Allah, menggerakkan aktiviti kebajikan dan memberi manfaat terus kepada masyarakat setempat.

“Selain itu, Program Tuisyen Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) B40 sebanyak RM3.33 juta diperuntukkan, memberi manfaat kepada lebih 15,8743 pelajar B40 dengan penyediaan makanan percuma ketika mengikuti kelas tambahan. Ini membolehkan anak-anak Johor memberi tumpuan sepenuhnya dalam pembelajaran tanpa beban kelaparan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut beliauy berkata, usaha tersebut turut akan memberi impak positif kepada pembangunan modal insan selain memperkukuh pusat ibadah dan aktiviti sosial.

“Langkah progresif ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Johor prihatin terhadap keperluan rakyat, khususnya golongan B40 dan para pelajar yang bakal menjadi pewaris negeri.

“Pemuda UMNO Bahagian Pagoh yakin, usaha ini bukan sahaja memperkukuhkan institusi masjid sebagai pusat ibadah dan aktiviti sosial, malah memberi impak positif kepada pembangunan modal insan Negeri Johor.

“Kami menyeru semua lapisan masyarakat, terutamanya anak muda, untuk bersama-sama mendukung, merealisasikan inisiatif murni ini demi kesejahteraan dan kemajuan Bangsa Johor,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO