Calon PM: Pas, PPBM Gopoh Tanpa Persetujuan YDPA – Zawawi
KUALA LUMPUR, 18 Sept – Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berpandangan bahawa Pas dan PPBM bersifat gopoh untuk menonjolkan calon Perdana Menteri (PM) tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Ujarnya, UMNO pernah melalui pengalaman mengenai calon Menteri Besar Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan parti tetap menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.

“Sehari dua ini kecoh tentang calon PM, samada berlaku dalam Perhimpunan Parti PPBM mahupun Muktamar Pas yang dilihat saling menonjolkan tokoh masing-masing seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Pada pandangan saya, apa yang berlaku hari ini adalah satu sifat kegopohan dan kegelojohan parti PPBM, Pas tanpa mengira persetujuan serta kehendak Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang bakal memutuskan siapa di kehendaki.
“UMNO menjunjung titah Raja-Raja Melayu terutamanya Yang di-Pertuan Agong. UMNO pernah melalui pengalaman atas titah Sultan Ibrahim satu ketika dulu selepas PRN Johor mengenai calon Menteri Besar,” katanya kepada UMNO Online.
Jelasnya, pengalaman tersebut mengajar UMNO untuk tidak meletakkan sembarangan nama ketika musim pilihan raya.
“Sejak daripada itu, UMNO berdasarkan pengalaman tidak akan meletakkan nama tokoh yang akan menjadi PM jika menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. Ianya akan dimuktamadkan bersama Yang di-Pertuan Agong nanti.
“Walaubagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum UMNO mempunyai tokoh-tokoh yang berwibawa dan berkebolehan. UMNO sebuah parti politik yang konsisten dan berpandangan jauh untuk survival rakyat Malaysia terutamanya orang melayu dalam segi keselamatan dan ekonomi.
“UMNO berpegang pada keluhuran perlembagaan dan undang-undang. UMNO tak suka demonstrasi haram atau pun halal dan menghormati pandangan rakyat. Tokoh-tokoh besar ada dalam UMNO dan kita serah kepada rakyat untuk menentukan siapa yang mereka kehendaki,” katanya lagi.
Pada 7 September lalu media melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) PPBM meluluskan usul menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari PPBM.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PAT PPBM kali ke-9 turut menyokong sepenuhnya kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Presiden PPBM.
Menerusi Muktamar Pas Pusat, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, secara terbuka mengakui faktor usia dan kesihatan menghalangnya daripada dipertimbang sebagai calon Perdana Menteri ke-11, namun menegaskan parti itu bersedia menerajui Malaysia jika PN menang PRU ke-16. – UMNO Online
