Situasi Banjir, Tanah Runtuh Di Sabah: RM10 Juta Peruntukan Segera Disalur
KOTA KINABALU, 17 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan akan segera menyalurkan peruntukan berjumlah RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah.
Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam akan digunakan untuk memberikan bantuan tunai kepada keluarga yang terjejas serta pembinaan semula rumah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) bagi mereka yang kehilangan tempat berteduh.

“Saya amat memahami beratnya dugaan yang sedang ditanggung oleh saudara-saudari kita di Sabah. Dalam saat getir ini, marilah kita semua bersatu hati mendoakan agar penduduk terjejas diberi kekuatan, keselamatan dan ketabahan,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Beliau turut berharap agar segala usaha bantuan yang digerakkan oleh kerajaan, agensi berkaitan serta badan sukarela dipermudahkan dan keadaan dapat segera pulih seperti sediakala.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak, kita mampu mengharungi cabaran ini bersama-sama,” tambahnya lagi. – UMNO Online
