Hubungan Diplomatik Malaysia-Uruguay Terus Diperkasa – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 17 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat oleh Timbalan Menteri Luar Negeri Uruguay PYT Valeria Csukasi Cabrera, bersama delegasi beliau di Putrajaya.

Presiden UMNO itu memaklumkan ia bukanlah pertemuan pertama memandangkan hubungan telah lama terjalin sejak pertemuan terdahulu, termasuk ketika Uruguay menyertai Malaysia International Halal Showcase (MIHAS).

“Keakraban ini turut diserikan dengan pengalaman beliau yang pernah berkhidmat sebagai Duta Besar Uruguay ke Malaysia sebelum ini.

“Pertemuan ini mengukuhkan lagi komitmen Malaysia dan Uruguay untuk mempererat kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan, pertanian moden dan industri Halal,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata Uruguay melihat Malaysia sebagai pintu masuk strategik untuk produk halal mereka ke pasaran Asia.

Manakala Malaysia pula menghargai Uruguay sebagai rakan penting dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan dan pertumbuhan ekonomi desa.

“Saya yakin hubungan Malaysia-Uruguay akan terus berkembang kukuh sekali gus membuka lebih banyak peluang yang bermanfaat kepada kedua-dua negara.

“Semoga kerjasama erat ini menjadi jambatan ke arah kejayaan bersama, insya-Allah,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO