Bapa Pembangunan Modal Insan, Jasa Dan Legasi Tun Abdullah Jadi Inpirasi Rakyat
KUALA LUMPUR, 17 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bersyukur Program Mengenang Negarawan Tun Abdullah Ahmad Badawi: Bapa Pembangunan Modal Insan bertempat di Bertam Resort & Water Park, Pulau Pinang berlangsung dengan baik.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, program tersebut diadakan bagi mengenang ketokohan, jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdullah sepanjang pentadbiran beliau sebagai Perdana Menteri Kelima, yang menekankan pendekatan damai, sederhana, inklusif dan pembangunan seimbang.

“Inisiatif ini mendokumentasikan pengkisahan, penceritaan dan pembicaraan mengenai dasar serta polisi yang diperkenalkan Tun Abdullah untuk dijadikan rujukan dan penyelidikan generasi kini dan akan datang.
“Ia juga berperanan menerapkan nilai-nilai sahsiah, sosial dan kemasyarakatan melalui penghayatan keperibadian, ketokohan dan corak kepimpinan beliau dalam pembangunan modal insan,” ujarnya dalam satu catitan di laman Facebooknya.
Jelas Reezal lagi, majlis itu telah disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang, yang dalam ucapannya menzahirkan penghargaan mendalam kerajaan terhadap jasa Tun Abdullah merentasi bidang politik, pentadbiran, pembangunan insan dan perpaduan negara, yang memberi kesan besar kepada kesejahteraan rakyat.
Tambahnya, program tersebut turut menampilkan Simposium Khas bersama panelis tersohor negara yang mengupas sumbangan Tun Abdullah sebagai Perdana Menteri Kelima.

“Saya sendiri diberi ruang sebagai panel dalam sesi bertajuk “Sumbangan dan Jasa Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri Ke-5”, bersama tokoh pemikir Prof. Emeritus Datuk Dr. Mohd Yusof Haji Othman yang juga Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), dan Datuk Jefridin Atan, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang dipengerusikan oleh Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin dari Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Sesungguhnya, jasa dan legasi Allahyarham Tun Abdullah akan terus dikenang dan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas itu lagi.
Selain itu katanya, sesi pengkisahan bertajuk “Kisah Ayahanda Saya” yang disampaikan oleh anakanda Tun Abdullah, Nori Abdullah, menambahkan lagi nilai sentimental kepada majlis ini.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Menteri Perpaduan Negara Senator Saraswathy Kandasami; Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Haslina Abdul Hamid dan; Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Hj. Abdul Rahman,;
Hadir sama Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Tan Sri Datuk Seri (Dr.) Haji Mohd Yussof Latiff; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Haji Baderul Amin Abdul Hamid; Wakil-wakil agensi kerajaan, sahabat-sahabat Allahyarham Tun Abdullah, serta keluarga besar Kepala Batas. – UMNO ONLINE
