Banjir Kimanis: Mohamad Alamin Bantu Mangsa, Lima PPS Dibuka

KIMANIS, 17 Sept – Seramai 914 penduduk di Parlimen Kimanis terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan sejak beberapa hari lalu.

Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, setakat ini lima PPS telah dibuka bagi menampung jumlah mangsa yang meningkat dari semasa ke semasa.

Menurutnya, tiga PPS dibuka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut yang menempatkan seramai 407 orang mangsa, manakala dua PPS lagi di kawasan DUN Bongawan menempatkan seramai 507 orang mangsa.

“Saya sendiri telah turun padang meninjau keadaan di beberapa kampung di Membakut bagi melihat situasi semasa dan memastikan keperluan asas mangsa di PPS mencukupi. Setakat ini, pihak berkuasa termasuk agensi penyelamat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang bertungkus-lumus memberikan bantuan,” katanya.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk bersama-sama berdoa agar banjir yang melanda Kimanis segera pulih dan kehidupan penduduk kembali normal seperti biasa.

“Sama-sama kita berdoa semoga banjir ini akan cepat surut dan keadaan kembali seperti biasa Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO