UMNO Sabah Tangguh Program Gelombang Biru, Utama Bantuan Kemanusiaan
KOTA KINABALU, 16 Sept – UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah mengambil keputusan menangguhkan penganjuran program Gelombang Biru yang sepatutnya berlangsung pada 21 Sept ini sebagai tanda solidariti terhadap mangsa tragedi tanah runtuh dan banjir yang sedang melanda negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, keputusan itu dibuat berlandaskan hati nurani kerana parti tidak sanggup meraikan perhimpunan politik ketika rakyat sedang berduka dan bergelut dengan bencana.

“UMNO BN Sabah dengan ini membatalkan program Gelombang Biru yang dijadualkan pada 21 September 2025 dan ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan ditentukan kelak.
“Kita tidak mungkin meraikan perhimpunan politik di saat rakyat sendiri meratap kehilangan orang tersayang akibat tragedi tanah runtuh semalam, selain ribuan lagi yang kini terjejas banjir di seluruh negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban dan menegaskan bahawa kesedihan itu adalah kesedihan bersama tanpa mengira latar belakang politik.
“Politik boleh menunggu. Tetapi ketika ada anak kecil tidur dalam kesejukan pusat pemindahan, ketika ada seorang ibu kehilangan tempat berteduh, ketika ada sebuah keluarga menangisi jasad yang baru dikebumikan, di situlah seluruh tenaga kita mesti digerakkan,” jelasnya.
Menurut Suhaimi, seluruh jentera BN Sabah kini digerakkan sepenuhnya ke lapangan untuk menghulurkan bantuan, memberi sokongan moral dan memastikan rakyat tidak berdepan penderitaan seorang diri.
“Gelombang Biru akan kembali. Tetapi hari ini, biarlah kita bersama-sama mencipta Gelombang Kemanusiaan, sebuah gelombang yang lebih besar daripada politik, iaitu gelombang kasih sayang, solidariti, dan pengorbanan untuk rakyat Sabah,” tegasnya lagi. – UMNO Online
