Sabah Milik Rakyat, Bukan Parti Politik – Salleh Said Keruak

KOTA KINABALU, 16 Sept – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa Sabah adalah milik rakyatnya sendiri dan bukan mana-mana parti politik.

Dalam hantaran menerusi laman Facebooknya sempena sambutan Hari Malaysia, beliau mengingatkan bahawa kuasa asal penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 datang daripada rakyat Sabah melalui proses penentuan nasib sendiri.

“Sabah tidak dimiliki mana-mana parti politik. Pemilik sebenar ialah rakyat Sabah yang berbilang kaum dan agama, sama ada di pedalaman, pesisir pantai, pulau-pulau atau bandar,” katanya.

Menurut beliau, parti politik dan kerajaan hanyalah pengurus sementara yang boleh berganti, namun hakikatnya pemilik dan penjaga hakiki negeri ini tetap rakyat Sabah sendiri.

“Sabah akan sentiasa menjadi milik orang Sabah, dari generasi ke generasi,” tambah beliau.

Salleh turut menyeru agar rakyat Sabah terus mempertahankan hak dan kepentingan negeri itu dalam semangat perpaduan serta cintakan tanah air. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO