Johari Ghani Seru Rakyat Perkukuh Semangat Muafakat Sempena Hari Malaysia
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johani Ghani menzahirkan ucapan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat Malaysia sambil menyeru agar semangat perpaduan dan muafakat terus diperkukuhkan demi masa depan negara yang lebih sejahtera.
Dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia, beliau berkata bahawa tarikh 16 September bukan sahaja memperingati terbentuknya Malaysia, tetapi juga menjadi simbol kekuatan, keharmonian dan daya tahan rakyat negara ini tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita meraikan bukan sahaja terbentuknya Malaysia, tetapi juga ikatan kebersamaan yang menjadikan kita sebuah negara yang kuat, harmoni dan berdaya tahan, tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.
Tambah beliau, nilai saling menghormati, semangat bekerjasama dan kebersamaan dalam menghadapi cabaran adalah asas kepada kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara yang majmuk dan progresif.
“Marilah kita terus memperkukuh semangat muafakat, saling menghormati dan berganding bahu demi Malaysia yang lebih sejahtera untuk generasi akan datang,” ujarnya lagi.
Sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun memperingati pembentukan Malaysia pada tahun 1963, yang menyatukan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dalam satu persekutuan. – UMNO Online
