Hayati Hari Malaysia, Lambang Kesepaduan Bentuk Kemajuan Negara – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 16 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru rakyat Malaysia agar menghayati sambutan Hari Malaysia bukan sekadar sebagai acara tahunan, tetapi sebagai lambang kesepaduan dan semangat kekitaan yang telah membentuk kemajuan negara hari ini.

Menurut beliau, Hari Malaysia adalah satu pengiktirafan terhadap jasa pemimpin terdahulu, pengorbanan rakyat berbilang kaum, serta usaha gigih semua pihak dalam memelihara keharmonian dan kestabilan negara.

“Hari Malaysia bukan sekadar sambutan, tetapi merupakan simbol kesepaduan dan semangat kekitaan yang telah membawa kita ke tahap pembangunan dan kemajuan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia 2025.

Beliau turut menyeru rakyat agar memainkan peranan aktif sebagai warganegara yang bertanggungjawab, berilmu dan beretika dalam membina masa depan negara.

“Marilah kita menghayati semangat Hari Malaysia dengan lebih mendalam, bukan sekadar melalui perarakan atau laungan semangat, tetapi dengan turut memainkan peranan aktif sebagai warganegara yang bertanggungjawab,” tambahnya.

Wan Rosdy turut menzahirkan harapan agar semangat Malaysia Madani terus menjadi landasan dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO