Hari Malaysia Lambang Perpaduan dan Tanggungjawab Bersama – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR, 16 Sept – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa sambutan Hari Malaysia bukan sekadar mengenang sejarah pembentukan negara, tetapi juga merupakan peringatan akan tanggungjawab besar yang perlu digalas oleh seluruh rakyat.
Dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia ke-62, beliau berkata kemakmuran dan keamanan yang dikecapi hari ini merupakan hasil daripada perjuangan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

“Selama itu jugalah kita merasai nikmat sebuah kedaulatan, keamanan dan kemakmuran. Namun jangan sesekali kita lupakan bahawa nikmat yang dilimpahkan hadir dengan tanggungjawab yang besar dan berat,” katanya.
Menurut beliau, antara tanggungjawab utama rakyat ialah memelihara perpaduan, menghargai kepelbagaian, serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan tanah air mengikut kapasiti masing-masing.
“Sempena Hari Malaysia ini, marilah kita bersama-sama bersatu hati. Kekuatan sebenar tanah air ini lahir daripada kebersamaan seluruh rakyatnya,” ujarnya.
Mohamed Khaled turut mengucapkan Selamat Hari Malaysia ke-62 kepada seluruh rakyat Malaysia, sambil menyeru agar semangat patriotisme terus disemarakkan demi masa depan negara yang lebih gemilang. – UMNO Online
