Malaysia Alu-alukan Kehadiran Delegasi Antarabangsa Ke Sidang Kemuncak Halal Global 2025

KUALA LUMPUR, 15 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan selamat datang kepada semua delegasi antarabangsa yang menghadiri Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025, yang akan berlangsung mulai esok hingga 26 September di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mengalu-alukan dan menyatakan penghargaan terhadap kehadiran 92 badan pensijilan halal yang diiktiraf dari 47 negara, termasuk para duta, penggubal dasar, ahli akademik serta pemimpin industri dari seluruh dunia.

“Terima kasih atas komitmen berterusan anda dalam memajukan ekosistem halal global. Kehadiran anda membuktikan kesungguhan bersama dalam membina masa depan halal yang lebih mampan dan diyakini,” katanya.

Beliau turut mendoakan agar perjalanan semua delegasi ke Malaysia berjalan lancar serta berharap mereka dapat merasai kehangatan dan kemesraan hospitaliti rakyat Malaysia sepanjang berada di sini.

“Lebih penting lagi, semoga ilmu, jaringan kerjasama dan peluang yang diperoleh di GHaS 2025 membawa manfaat bermakna kepada negara masing-masing, dan memperkukuh lagi industri halal sejagat,” tambahnya.

Malaysia, ujar beliau, berbangga menjadi jambatan strategik dalam menjayakan agenda halal yang berteraskan integriti, kelestarian dan daya tahan.

“Bersama-sama, kita mampu mengangkat kecemerlangan halal ke tahap yang lebih tinggi,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO