Kekuatan Akar Umbi, Rekod Cemerlang BN Jadi Kunci Di PRN Sabah – Mohd Rafi
BONGAWAN, 15 Sept – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, menegaskan bahawa kekuatan akar umbi parti serta rekod pentadbiran cemerlang Barisan Nasional (BN) menjadi faktor utama kebangkitan semula BN di Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Program Radu Tetap Radu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongawan, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan semalam.
Program tersebut dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr. Akmal Salleh, dan turut disertai oleh barisan kepimpinan tertinggi UMNO Sabah.

Turut hadir ialah Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak; Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin serta kepimpinan Wanita dan Pemuda UMNO Negeri Sabah.
Menurut Mohd Rafi, kehadiran luar biasa masyarakat setempat, khususnya generasi muda, membuktikan keyakinan rakyat semakin pulih terhadap perjuangan BN.
“Kekuatan sebenar UMNO dan BN adalah pada akar umbi iaitu ahli dan penyokong yang setia sejak lebih 30 tahun di Sabah. Mereka inilah tulang belakang parti yang sentiasa teguh walau diuji pelbagai cabaran,” ujarnya.
Tambah beliau, rekod pentadbiran BN sebelum ini telah membuktikan kemampuan membawa pembangunan menyeluruh kepada negeri Sabah, khususnya dalam penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air, dan elektrik.
“Sejak BN tidak lagi mentadbir negeri tujuh tahun lalu, Sabah berdepan pelbagai isu asas yang gagal diselesaikan oleh kerajaan semasa. Ini jelas menunjukkan perlunya satu pentadbiran yang lebih stabil dan berpengalaman seperti BN untuk mengembalikan kegemilangan negeri ini,” kata beliau.
Mohd Rafi turut menyifatkan Program Radu Tetap Radu sebagai pencetus gelombang baharu kebangkitan UMNO dan BN di Sabah, terutama di kalangan pengundi muda yang semakin mendekati agenda perjuangan parti.
“Insya-Allah, dengan sokongan rakyat, BN bersedia memimpin semula negeri ini dengan lebih baik, demi masa depan rakyat Sabah yang lebih terjamin,” katanya.
Program di Bongawan itu dianggap sebagai petanda positif dan permulaan yang kuat untuk jentera BN menghadapi PRN Sabah yang kian hampir. – UMNO Online
