Johor Tuan Rumah Pertama IJPAM 2025, Teguhkan Penyatuan Agensi Agama

JOHOR BAHRU, 15 Sept – Johor mencatat sejarah sebagai tuan rumah pertama Program Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) selepas ia dijadikan acara dwitahunan oleh kerajaan Persekutuan.

Program selama tujuh hari itu bermula 8 September dan berakhir semalam, menyaksikan penglibatan seramai 2,264 peserta daripada 20 agensi agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Haji, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta kontinjen dari 14 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang turut mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam program tersebut berkata, penganjuran IJPAM 2025 bukan sahaja mencerminkan kekuatan jaringan agensi agama di seluruh negara, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh syiar Islam.

“Program ini bukan sekadar himpunan agensi, tetapi lambang penyatuan, kekuatan dan komitmen bersama dalam memperkasa syiar Islam,” ujar beliau.

Antara pengisian utama IJPAM 2025 ialah Fun Run IJPAM Johor dengan kategori terbuka 5.1 km, 3 km dan VIP 1.69 km, selain Konvensyen Hal Ehwal Agama Islam dan Seminar, serta Kejohanan Sukan IJPAM yang menampilkan 9 acara utama seperti bola sepak, badminton, memanah, bola jaring, bowling, golf dan ping pong.

Dalam pada itu, Johor turut menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan hal ehwal agama.

Menurut Onn Hafiz, sebanyak RM21.88 juta telah disalurkan oleh JAKIM kepada 244 institusi pendidikan agama di Johor pada tahun ini.

Tambah beliau, sehingga Ogos 2025, kutipan zakat di Johor telah mencecah RM423.5 juta, dengan agihan kepada lebih 225,000 penerima manfaat merangkumi pelbagai bentuk bantuan seperti sara hidup bulanan, perubatan, persekolahan dan perumahan.

Ujarnya, Kerajaan Negeri Johor juga terus komited memperkukuh pentadbiran Islam menerusi:
• 843 masjid dan 1,900 surau, disokong oleh 35,681 pegawai dan AJK;
• Pengurusan 1,042 sekolah agama, dengan lebih 1,300 guru menerima kenaikan elaun dan tambahan 300 guru baharu;
• Peruntukan RM77.57 juta bagi program keagamaan tahun 2025, termasuk Program Semarak Subuh dan pembinaan tiga buah sekolah agama baharu.

Onn Hafiz menzahirkan harapan agar penganjuran IJPAM 2025 menjadi pemangkin kepada pembangunan ummah yang lebih mantap serta menjulang martabat negeri Johor sebagai negeri maju yang meletakkan agama dan kesejahteraan rakyat sebagai asas utama pembangunan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO