BN Sabah Konsisten Perjuang Isu Infrastruktur Asas, Mandat Rakyat Diterjemah kepada Tindakan Segera

LAHAD DATU, 15 Sept – Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam menjadikan isu infrastruktur asas sebagai agenda utama perjuangan, khususnya di kawasan luar bandar yang sekian lama berdepan masalah jalan rosak dan tidak selamat.

Menurut Pengerusi Pemantau Bencana dan Keperluan Khas BN P.188 Lahad Datu merangkap Ketua Penerangan BN Comms DUN N.61 Segama, Hamzani Ariffin, hanya kerajaan yang benar-benar prihatin terhadap nasib rakyat mampu menterjemahkan mandat yang diberikan kepada tindakan sebenar dan bukan sekadar ucapan atau janji kosong.

“BN Sabah konsisten menjadikan isu infrastruktur asas sebagai agenda perjuangan. Apa yang penting, mandat rakyat akan diterjemahkan kepada tindakan segera, bukan hanya ucapan dan janji manis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu jalan utama yang rosak teruk di Kampung Segama Lama Batu 8, yang sehingga kini masih belum menerima penyelesaian konkrit walaupun sudah lama dibangkitkan oleh penduduk setempat.

Tambah beliau, BN komited memperjuangkan pembinaan jalan konkrit kekal di kawasan tersebut sebagai penyelesaian jangka panjang, menggantikan amalan lama menampal lubang yang tidak bertahan lama.

Hamzani turut menyifatkan kegagalan kerajaan sedia ada, khususnya di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sebagai bukti kelemahan dalam merancang dan melaksanakan projek infrastruktur luar bandar, termasuk di kawasan Tungku yang turut mengalami nasib sama.

“Rakyat tidak seharusnya terus menjadi mangsa kepada kelemahan pentadbiran. BN berjanji untuk mengutamakan keperluan asas rakyat jika diberi mandat semula,” ujarnya.

BN Sabah kini tampil membawa suara rakyat luar bandar dengan tekad baharu, menjadikan pembangunan infrastruktur asas seperti jalan raya sebagai tunjang utama dalam usaha memulihkan keyakinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO