Pemuda, Puteri UMNO Johor Sepakat Kukuhkan Parti – Noor Azleen
PUTRAJAYA, 14 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menegaskan bahawa pertemuan bersama pimpinan parti merupakan kelaziman bagi Pemuda UMNO negeri untuk bertukar pandangan, memperkukuh jaringan dan peranan dalam mendepani cabaran politik semasa.
Menurut beliau, kali ini pertemuan bersama Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said lebih bermakna kerana ia turut melibatkan Pergerakan Puteri UMNO Johor, membuktikan kesediaan kedua-dua sayap untuk berganding bahu menguatkan parti.
“Pemuda dan Puteri ada tanggungjawab masing-masing tetapi yang penting kita sentiasa bersama berganding bahu untuk menyumbang kepada kekuatan UMNO Johor,” katanya.
Pertemuan yang berlangsung pada Khamis turut dihadiri barisan kepimpinan Pemuda UMNO bahagian dan kepimpinan Puteri UMNO Negeri yang diketuai Rina Farhana Abdullah.
Noor Azleen seterusnya menambah dengan memberikan contoh pertemuan sebelum ini bersama Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung UMNO banyak memberi input mengenai usaha memperkasakan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Hari ini pula kita mendapat manfaat melalui perkongsian daripada Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), khususnya dalam hal ehwal undang-undang,” jelasnya.
Katanya lagi, peluang sebegini amat penting kerana ia memberi ruang untuk mendapatkan penjelasan terus daripada pimpinan sebelum disampaikan kepada akar umbi.

“Kalau kita tidak fahamkan kepada rakyat, maka apa yang dilaksanakan tidak mungkin difahami sepenuhnya. Sebab itu ruang ini kita gunakan sebaik mungkin,” tambah beliau.
Noor Azleen seterusnya menegaskan, keutamaan Pemuda dan Puteri UMNO Johor adalah memastikan UMNO terus kuat dan dominan dalam politik negara.
“Kita kena kuatkan daya tahan dan ‘kekuda’ kita. Insya-Allah, UMNO akan terus kuat,” tegasnya. – UMNO Online
