GHaS: Bukti Komitmen Malaysia Terajui Agenda Halal Global – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 14 Sept – Global Halal Summit (GHaS) adalah bukti Komitmen teguh Malaysia dalam menerajui agenda halal global yang diyakini dan dipercayai.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, edisi GHaS kali ini bakal meghimpunkan badan pensijilan antarabangsa, penggubal dasar, pemain industri dan ahli akademik.

“Insya-Allah, Global Halal Summit (GHaS) kembali lagi! Edisi kali ini bakal menghimpunkan badan pensijilan halal antarabangsa, penggubal dasar, pemain industri serta ahli akademik di Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula daripada 16 hingga 26 September 2025 ini.

“Dengan tema ‘Integrity, Sustainability, Resilience’, GHaS 2025 akan menjadi platform strategik untuk memperkukuh ekosistem halal global dan menegaskan kedudukan Malaysia sebagai peneraju utama industri halal dunia,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, acara tersebut turut akan membuka ruang penerokaan teknologi baharu.

“GHaS adalah bukti komitmen teguh Malaysia dalam menerajui agenda halal global yang diyakini dan dipercayai. Selain daripada memperkukuh kerjasama antarabangsa, acara berprestij ini juga turut membuka ruang penerokaan teknologi baharu, perkongsian idea segar dan peluang pelaburan yang diyakini seluruh dunia.

“Insya-Allah, saya juga akan turut menghadiri beberapa siri program utama sepanjang GHaS 2025 ini berlangsung. Bersama-sama kita buktikan kepada dunia bahawa Malaysia mampu menjulang industri halal ke tahap global yang lebih inklusif, moden dan berdaya tahan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO