SWP Bersama KPWKM Bantu Ibu-ibu Tunggal Seluruh Malaysia – Dr Masliha
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Program KasihNita bersama Ibu Tunggal telah berlangsung dengan jayanya di Grand Continental Kuching, Sarawak serta Shangri-La Hotel Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.
Pengerusi Sekretariat Wanita Profesional (SWP), Dr Masliha Harun berkata program ini menjadi platform penting dalam usaha memperkasakan golongan ibu tunggal melalui sokongan emosi, bimbingan perniagaan dan peluang jaringan strategik.
“Program tersebut digerakkan oleh pasukan Perubatan Sekretariat Wanita Profesional (SWP) yang diketuai Dr Hasnor bersama Cik Hamizah dan Cik Farah, dengan kerjasama Pusat Psikologi Jiwa Damai. Ia menghimpunkan ibu-ibu tunggal dari seluruh Malaysia untuk berkongsi pengalaman, menerima rawatan sokongan
bantuan dan ruang untuk berkongsi pengalaman.
“Lebih daripada sekadar pertemuan, KasihNita turut memberi ruang kepada peserta untuk menimba ilmu keusahawanan, merangka strategi perniagaan dan mengembangkan potensi ekonomi.
“Penerapan aspek psikologi dan motivasi turut menjadi teras utama agar ibu tunggal terus berdaya tahan dalam mengurus keluarga serta kehidupan,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menjelaskan kejayaan penganjuran di Sarawak dan Sabah adalah bukti komitmen bersama dalam memastikan golongan ibu tunggal tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.
“Ini bukan sahaja memberi bantuan sokongan, tetapi juga membuka laluan kepada ibu tunggal untuk meningkatkan pendapatan dan menempuh kehidupan dengan lebih yakin. Inisiatif ini adalah satu usaha serius untuk membela dan mengangkat martabat mereka,” katanya lagi.
Pada masa yang sama Dr Masliha turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri kerana memperkenalkan inisiatif berimpak besar ini.
“Ucapan terima kasih juga turut ditujukan kepada Timbalan Menteri KPWKM, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad yang sentiasa memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk menyertai KasihNita.
“InshaAllah… Sekretariat Wanita Profesional seterusnya akan pergi ke empat lagi zon daripada enam zon seluruh Malaysia untuk terus membantu golongan ibu tunggal,” ujarnya.
Ujarnya lagi, KasihNita diharap mampu menjadi wadah berterusan dalam memperkukuh kedudukan ekonomi dan sosial ibu tunggal, sekali gus melahirkan golongan wanita yang lebih berdikari, berdaya tahan dan menyumbang kepada pembangunan negara. – UMNO Online
