PRN Sabah: Gelombang Biru Isyarat Kebangkitan BN
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kehadiran rakyat ke Program Gelombang Biru pada 21 September ini merupakan Isyarat kebangkitan Barisan Nasional (BN) di Sabah.
Ketua Penerangan UMNO Sabah merangkap Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berkata, gelombang tersebut turut menandakan keyakinan rakyat terhadap BN untuk kembali mentadbir negeri tersebut.

“Program Gelombang Biru pada 21 September ini dijangka menjadi perhimpunan politik terbesar menjelang PRN Sabah ke-17.
“Gelombang yang bukan sahaja bakal menggegarkan pentadbiran GRS, tetapi juga menandakan keyakinan rakyat bahawa era BN untuk kembali mentadbir negeri semakin hampir.
“Bertempat di Magellan Sutera, program ini akan menghimpunkan pimpinan, jentera serta rakyat yang percaya bahawa Sabah memerlukan kepimpinan yang stabil, konsisten dan berwibawa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, BN Sabah tampil dengan rekod pencapaian yang tidak boleh dinafikan.
“Gelombang Biru bukan sekadar simbol, tetapi aspirasi rakyat yang mahu melihat Sabah kembali ke landasan pembangunan sebenar.
“BN Sabah tampil dengan rekod pencapaian yang tidak boleh dinafikan, dan dengan jentera yang kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh, parti ini bersedia menghadapi PRN-17 pada bila-bila masa.
“Kehadiran rakyat ke Gelombang Biru 21 September adalah mesej jelas bahawa rakyat sudah bersedia untuk menamatkan episod pentadbiran yang lemah, dan membuka lembaran baru bersama BN yang terbukti menjaga kepentingan negeri,” katanya lagi. – UMNO Online
