Pendidikan Johor Terus Diberi Peruntukan Tambahan, Ringankan Beban Pelajar – Aznan Tamin
KUALA LUMPUR, 13 Sept – Kerajaan Negeri Johor memperuntukkan sejumlah RM26.86 juta bagi melaksanakan beberapa inisiatif baharu dalam bidang pendidikan, khususnya untuk mahasiswa anak Johor serta calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata peruntukan tambahan itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dalam mesyuarat kedua, penggal persidangan keempat Dewan Negeri Johor Ke-15, pada Khamis.
“Sejumlah RM853 ribu diperuntukkan bagi Kit SPM Maju Johor 2025 kepada 42,689 calon SPM 2025. Makanan percuma untuk program tuisyen SPM 2025, peruntukkan diberikan sebanyak RM3.33 Juta kepada 15,874 penerima calon SPM 2025 daripada keluarga B40.
“Syukur Alhamdulillah, sebanyak RM17.68 juta diperuntukkan bagi bantuan tunai one-off RM200 kepada mahasiswa anak Johor (IPTA) di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda.
“Bantuan laptop siswa Johor (tambahan) sebanyak RM 5 Juta, manfaat ini akan diberikan kepada 2,000 penerima mahasiswa anak Johor yang akan menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Aznan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menambah terdapat juga insentif one-off RM200 tingkatan enam dan pelajar asasi kepada 10,455 penerima anak Johor.
“Sebanyak RM2.2 Juta diperuntukkan bagi insentif one-off RM200 Tingkatan enam dan Pelajar Asasi kepada 10,455 penerima anak Johor.
“Sebanyak RM1.8 Juta diperuntukkan bagi program kenegaraan YPM dengan 3,000 penerima manfaat terdiri daripada pelajar Tingkatan lima (5) dan RM 715 Ribu diperuntukkan bagi jelajah mahasiswa anak Johor 2025 dengan 9,000 penerima manfaat daripada mahasiswa anak Johor,” katanya lagi.
Beliau juga berharap inisiatif-inisiatif tambahan ini dapat memberi manfaat kepada seluruh Bangsa Johor demi kemajuan pendidikan yang berkualiti di negeri Johor Darul Takzim. – UMNO Online
