MWL: Ahmad Zahid Tegas Komitmen Malaysia Promosi Islam Sejahtera

KUALA LUMPUR, 13 Sept – Malaysia komited untuk terus menjadi rakan strategik Muslim World League (MWL) dalam mempromosikan Islam yang Sejahtera dan berteraskan ilmu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menerima kunjungan hormat daripada Dr Mohamed Gharawi Ahmed, Pengarah MWL Malaysia pada Jumaat.

“Semasa di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, saya telah menerima kunjungan hormat daripada Dr Mohamed Gharawi Ahmed, MWL Malaysia.

“Dalam kesempatan yang penuh ukhwah dan bermakna ini, kami telah berbincang tentang langkah memperkukuh usaha dan mempereratkan kerjasama Malaysia bersama MWL,” katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berharap agar pertemuan tersebut bakal menjadi wasilah dalam mengangkat syiar Islam, memperkasa pendidikan dan memantapkan kedudukan Malaysia dalam industri halal dunia.

“Antara yang disentuh ialah usaha memperluas pendidikan Bahasa Arab dan pengajian Al-Quran untuk generasi muda, pendekatan dakwah kontemporari yang lebih inklusif melalui Majlis Ulama Asia dan memperkukuh kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai peneraju industri halal global.

“Saya turut menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menjadi rakan strategik MWL dalam mempromosikan Islam yang sejahtera dan berteraskan ilmu.

“Semoga pertemuan ini menjadi wasilah dalam mengangkat syiar Islam, memperkasa pendidikan, serta memantapkan kedudukan Malaysia dalam industri halal dunia. Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, beliau telah berkesempatan untuk bersama dengan Sahabat dan Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dari seluruh negara dalam Majlis Perasmian Kursus Train of Trainers (ToT).

“Saya berasa amat teruja apabila dapat bersama dengan Sahabat dan Sekretariat YPM dari seluruh negara dalam Majlis Perasmian ToT Khas bersama mereka.

“Melihat kesungguhan dan tekad yang terpancar pada wajah-wajah mereka, saya yakin inilah generasi yang akan memperjuangkan pendidikan anak-anak desa dan memacu agenda TVET sebagai enjin mobiliti sosial.

“Harapan saya agar semangat yang dizahirkan di sini terus dibawa pulang ke setiap kawasan. Jadilah pemimpin yang bukan sahaja mahir dan berilmu, tetapi berani berfikir besar, ikhlas berjuang dan sanggup menyingsing lengan demi anak-anak desa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO