42 Inisiatif Tambahan Bukti Johor Kekal Pro-Rakyat
KUALA LUMPUR, 13 Sept – 42 Inisiatif tambahan Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) membuktikan bahawa negeri tersebut kekal pro-rakyat.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Johor, Md Israk Abdullah berkata, 42 Inisiatif tambahan tersebut member manfaat kepada hampir 1.9 juta rakyat di negeri itu.

“UMNO Johor merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi atas pengumuman 42 inisiatif tambahan berjumlah lebih RM209 juta, yang memberi manfaat kepada hampir 1.9 juta rakyat Johor.
“Daripada jumlah itu, 25 inisiatif memberi tumpuan terus kepada rakyat untuk meringankan kos sara hidup meliputi bantuan tunai ‘one-off’ mahasiswa, pelajar, warga emas, anak yatim, pemandu e-hailing, nelayan, penternak dan sokongan kepada usahawan mikro dan komuniti. Ini membuktikan hasil kejayaan negeri dikembalikan semula kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, Kerajaan Negeri Johor mencatat pelaburan tertinggi negara dan ia menunjukkan dasar Maju Johor 2030 kini berada di landasan tepat.
“Pencapaian Johor juga terus membanggakan dengan mencatatkan pelaburan tertinggi negara sebanyak RM56.0 bilion, pertumbuhan KDNK 6.4 peratus (tertinggi di Malaysia), nilai jualan pertanian RM27.2 bilion (tertinggi negara) serta sasaran hasil negeri RM2.5 bilion tahun ini.
“Segala kejayaan ini menunjukkan dasar Maju Johor 2030 berada pada landasan tepat dan Johor bakal muncul sebagai negeri maju menjelang 2030.
“Sebelum ini, kerajaan negeri turut menyalurkan 42 inisiatif khas untuk warga FELDA Johor (RM4.5 juta), sembilan inisiatif khas untuk komuniti Orang Asli (RM3.8 juta) dan bantuan khas untuk ibu tunggal serta pesakit kanser wanita.
“Jelaslah bahawa pentadbiran Kerajaan BN Johor adalah berwibawa, prihatin dan pro-rakyat, memastikan pembangunan negeri serta kesejahteraan rakyat bergerak seiring,” katanya lagi. – UMNO Online
