Semarakkan Pendidikan: Norliza Sokong Usaha KPT Telus Tangani Isu Penempatan Pelajar
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menegaskan bahawa UMNO sentiasa komited dalam menyokong segala usaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi memastikan proses penempatan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) dilaksanakan secara telus dan teratur.
Beliau berkata, pendidikan merupakan asas utama dalam membentuk modal insan berdaya saing, justeru setiap langkah kerajaan khususnya KPT dalam menyediakan peluang melanjutkan pengajian harus diberi sokongan penuh.
“UMNO percaya dengan ketelusan dan kecekapan KPT dalam menguruskan penempatan pelajar, ia bukan sahaja memberi keyakinan kepada ibu bapa malah membuka lembaran baru kepada pelajar untuk terus berjaya di menara gading.
“Kita mahu melihat lebih ramai anak-anak bangsa, tanpa mengira latar belakang, diberi peluang sama rata untuk melanjutkan pengajian. Inilah matlamat kita dalam memastikan agenda pendidikan negara terus berkembang,” katanya kepada UMNO Online hari ini.

Mengulas peranannya sebagai Pengerusi PTPTN, Norliza berkata beliau juga komited memastikan aspek kewangan tidak menjadi halangan utama bagi pelajar untuk menyambung pengajian.
“Melalui PTPTN, pelajar mempunyai pilihan mendapatkan pinjaman pendidikan dengan kadar yang fleksibel. Ini selari dengan aspirasi kerajaan untuk memperluas akses pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat.
“Kita mahu anak-anak ini bukan sahaja berjaya memasuki universiti, tetapi juga dapat menamatkan pengajian tanpa terbeban dengan isu kewangan,” jelas beliau.
Menurutnya lagi, sejak dahulu UMNO konsisten mengangkat isu pendidikan sebagai agenda utama perjuangan parti kerana ia adalah kunci kepada pembangunan negara.
“Kita di semua peringkat juga akan terus memainkan peranan membantu masyarakat mendapatkan maklumat berhubung peluang pengajian tinggi, termasuk pinjaman PTPTN, biasiswa serta saluran sokongan lain.
“Pendidikan adalah jalan terbaik untuk mengubah masa depan keluarga, masyarakat dan negara. Maka, kita mesti sentiasa memberi sokongan penuh agar anak-anak kita tidak tercicir daripada arus pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas berkaitan laporan media berhubung seorang pelajar yang memperoleh PNGK 4.0 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tetapi gagal mendapat tempat di universiti nombor satu Malaysia, Universiti Malaya (UM)
Ujar Norliza, kegagalan sebahagian pelajar cemerlang untuk mendapat tempat dalam program tertentu adalah soal kapasiti, persaingan sengit dan pengagihan yang adil, sebaliknya bukanlah semata-mata isu merit atau ketidakadilan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar semua pihak bersama-sama berganding bahu menyemarakkan semangat pendidikan dan mengutamakan kepentingan generasi muda.
“Saya yakin, selagi mana pendidikan diberi keutamaan, selagi itu negara akan terus melahirkan generasi pewaris yang mampu memimpin dengan ilmu dan jati diri yang kukuh,” tambah beliau lagi. – UMNO Online
