Rais Yasin Santuni Pesakit Kronik, Semarak Semangat Patriotisme Belia Melaka
MELAKA, 12 Sept – Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin menzahirkan keprihatinan apabila menziarahi dua pesakit kronik dalam program Ziarah Kasih DUN Paya Rumput yang diadakan di Taman Krubong Jaya, baru-baru ini.
Ziarah tersebut melibatkan kunjungan ke rumah Pengerusi merangkap Imam Madrasah Darul Taqwa serta Bendahari KRT Taman Krubong Jaya, Muhamad Amin Muhamad Bakri yang kini menghidap kanser paru-paru tahap empat, dan kakitangan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Roslan Md Nawai, yang menghidap penyakit gout kritikal.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga sumbangan serta doa yang diberikan dapat meringankan beban dan memberi kekuatan kepada mereka sekeluarga,” kata Rais.
Sebelum itu, beliau turut menyampaikan perkongsian dalam Majlis Penutupan Kursus Kenegaraan Malaysia Madani: Generasi Madani “Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat” yang menghimpunkan seramai 877 pelajar tingkatan lima dari seluruh negeri di Dewan Taming Sari, UiTM Melaka, Kampus Alor Gajah.
Turut hadir, Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Melaka, Ts. Dr. Nadzri Mohd Sharif; Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Melaka, Agus Putra Apandi; Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Noranizam Jamal; pengetua sekolah-sekolah, guru pengiring serta urus setia Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM).

Menurut Rais, program berkenaan merupakan wadah penting membina kepimpinan belia berteraskan nilai kenegaraan, semangat patriotisme serta kecintaan terhadap tanah air.
“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada Akademi Kenegaraan Malaysia dan Pejabat Perdana Menteri Negeri Melaka atas kepercayaan yang diberikan. Semoga usaha ini melahirkan generasi muda berjiwa besar, berdisiplin dan sedia memikul amanah sebagai pewaris kepimpinan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
