MARA Terus Perkasa Agenda Pendidikan Bumiputera, Tiada Anak Bangsa Dibiar Tercicir
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa mandat besar MARA dalam memperkasa agenda pendidikan Bumiputera akan terus diperkukuhkan demi memastikan tiada seorang pun anak bangsa tercicir dalam mengejar masa depan yang lebih cemerlang.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya selepas Majlis Perasmian Program ‘Train of Trainers’ (TOT) Khas bersama Sahabat dan Sekretariat Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, pagi tadi.

Menurut Dr. Asyraf Wajdi, program ini menjadi wadah penting dalam melahirkan barisan Skuad YPM khususnya dari sekolah-sekolah luar bandar untuk digerakkan sebagai sukarelawan pendidikan dan role model anak muda.
“Skuad ini bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah mereka berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang membimbing, memberi inspirasi dan menjadi contoh positif kepada komuniti. Dengan ilmu pendidikan sahajalah kehidupan keluarga boleh berubah dan masa depan anak-anak Bumiputera dapat dijamin,” katanya.

Tambah beliau, dengan pendekatan berasaskan komuniti, Skuad YPM akan digerakkan ke seluruh negara termasuk kawasan pedalaman bagi mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan serta menghubungkan mereka dengan inisiatif YPM dan rakan strategik.
“Agenda besar MARA ini akan terus diperkasakan agar memastikan pendidikan untuk anak-anak Bumiputera tidak pernah terhenti, kerana kita tidak mahu seorang pun tercicir dalam mengejar kejayaan. Hanya dengan ilmu pendidikan dapat membuka jalan kepada kehidupan yang lebih baik,” tegasnya lagi. – UMNO Online
