KSP KPP: Penting Sesuaikan Dasar, Realiti Keselamatan Negara
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) penting untuk menyesuaikan dasar negara dengan realiti keselamatan hari ini, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, KSP diadakan untuk menilai semula dasar KPP bagi meneliti konteks pertahanan semasa.

“Menyempurnakan Majlis Pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KSP KPP) di Kuala Lumpur, pada Khamis.
“KSP yang dimulakan pada 2024 menilai semula KPP yang diluluskan pada 2019 untuk melihat keberkesanan dasar, meneliti konteks pertahanan semasa dan merangka hala tuju strategik baharu.
“Perkara ini cukup penting untuk menyesuaikan dasar negara dengan realiti keselamatan hari ini yang jauh berbeza berbanding lima tahun lalu, ketika KPP mula diperkenalkan,” katanya.
Ujarnya, Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu dan dapatan daripada KSP tersebut akan dimanfaatkan sepenuhnya.
“Negara berhadapan pelbagai cabaran keselamatan baharu seperti hambatan ancaman pertahanan berpaksi teknologi tinggi, kesiagaan yang rendah, cabaran di Laut China Selatan dan ancaman bukan tradisional.

“Dapatan ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina hala tuju pertahanan negara yang lebih lestari, menyeluruh dan berdaya tahan,” katanya lagi.
Untuk rekod, KSP KPP menetapkan lima hala tuju strategik iaitu Meneruskan Usaha Reformasi Dan Transformasi Angkatan Masa Hadapan (AMH); Pertahanan Komprehensif; Perkongsian Berwibawa; Sains, Teknologi dan Industri Pertahanan serta Transformasi, Tadbir Urus dan Pembiayaan Pertahanan. – UMNO Online
