Kerjasama Strategik Pacu Agenda Pendigitalan Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 12 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa kerjasama strategik antara pihak industri dan institusi pendidikan adalah pemacu utama dalam memperkukuh agenda pendigitalan negara.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian menerusi laman Facebooknya selepas menyaksikan Majlis Strategic Partnership Exchange antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL), UiTM Holdings melalui Neura, Viztech, BytePlus serta rakan teknologi Digital One Solution yang berlangsung di Menara MARA, semalam.

Menurut Ahmad Zahid, inisiatif itu bukan sahaja memperkukuh transformasi digital dan pembangunan Kecerdasan Buatan (AI), malah turut seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai tulang belakang pembangunan bakat negara.
“Insya-Allah, melalui kolaborasi ini lebih banyak peluang akan diwujudkan untuk memperkayakan kurikulum TVET dengan teknologi baharu, memberikan pendedahan industri yang relevan kepada pelajar serta melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi tuntutan ekonomi digital,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, sambil berharap kerjasama tersebut dapat memberi manfaat besar kepada pembangunan modal insan dan kemajuan ekonomi negara. – UMNO Online
