Kepimpinan Berjiwa Rakyat: Inisiatif RM209 Juta Ringankan Beban Bangsa Johor – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 12 Sept – Kerajaan Negeri Johor terus membuktikan keprihatinan terhadap rakyat apabila Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan deretan inisiatif bernilai lebih RM209 juta yang akan memberi manfaat langsung kepada hampir 1.9 juta Bangsa Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang turut hadir pada Sidang Dewan Undangan Negeri Johor semalam, menyifatkan pengumuman ini sebagai bukti kepimpinan negeri benar-benar mendengar denyut nadi rakyat.

“Segala inisiatif ini bukan sekadar angka di atas kertas. Ia menyentuh kehidupan rakyat marhaen di peringkat akar umbi, dari penghuni rumah kos rendah, mahasiswa, petani, nelayan hinggalah kepada pemandu teksi, warga emas, anak yatim serta barisan hadapan kebersihan. Inilah roh Maju Johor yang kita perjuangkan,” katanya menerusi kenyataan berkaitan hal terbabit.

Menurut Mohd Jafni, di bawah portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan, rakyat bawahan tidak dilupakan dengan pelbagai bantuan tunai dan sokongan kebajikan.

Antara inisiatif utama ialah:
• Bantuan Tunai One-Off RM3 juta kepada 15,000 penghuni PPR & RSK (RM200 seorang).
• Bantuan RM452 ribu kepada 2,260 anggota SWM (RM200 seorang).

“Ini memberikan kelegaan kepada golongan berpendapatan rendah yang menghuni rumah kos rendah dan juga pekerja am kebersihan yang menjadi barisan hadapan dalam menjaga persekitaran kita,” jelas beliau.

Kerajaan negeri, kata beliau, turut memberi tumpuan besar kepada sektor pendidikan demi memastikan masa depan anak Johor terus terjamin.

Antara peruntukan utama termasuk:
• Bantuan Tunai Mahasiswa Anak Johor bernilai RM17.78 juta untuk 88,882 mahasiswa.
• Tambahan 2,000 laptop bernilai RM5 juta.
• Bantuan pelajar Tingkatan 6 & Asasi RM2.2 juta melibatkan 10,455 pelajar.
• Kit peperiksaan SPM RM853 ribu untuk 42,689 calon.
• Makanan percuma untuk tuisyen B40 bernilai RM3.33 juta bagi 15,874 pelajar.

Tidak ketinggalan, katanya, pelbagai bentuk bantuan lain diagihkan termasuk Jualan Kasih Johor bernilai RM13.7 juta yang memberi manfaat kepada lebih 1.3 juta rakyat, agihan Bakul Makanan bernilai RM5.88 juta, Bakul Kasih Deepavali RM4.95 juta untuk 48,300 keluarga India, serta bantuan khas masyarakat Tionghua sebanyak RM2 juta.

Jelas Mohd Jafni, golongan pekerja, pesara dan marhaen juga terus terbela dengan bantuan kepada petani, nelayan, penternak, pemandu e-hailing, pemandu teksi, veteran ATM, pesara polis, warga emas JKM, anak yatim dan pelatih PDK OKU, melibatkan puluhan ribu penerima dengan jumlah jutaan ringgit.

“Dalam bidang kesihatan dan infrastruktur pula, kerajaan negeri memperuntukkan RM3.46 juta bagi pemindahan Klinik Ibu & Anak HSI dan Pusat Bekalan Ubat, RM1 juta Klinik Ibu & Anak Gelang Patah, RM1 juta peralatan tambahan di Hospital Sultan Ismail, RM200 ribu peralatan Hospital Pasir Gudang, RM100 ribu peralatan Poliklinik HSA, serta RM2.02 juta untuk Southern Volunteers membantu di hospital.

“Tidak ketinggalan peruntukan RM800 ribu pembaikan papan tanda di Johor Bahru, RM439 ribu baik pulih Kompleks Pekan Rabu Kluang, serta RM400 ribu naik taraf 17 hentian bas di Johor Bahru.”

Ujarnya, agenda sosial dan ekonomi rakyat juga diperkukuh dengan pelbagai program seperti khemah usahawan mikro, Program SKIPP, Program Jenguk Jiran, Program Kenegaraan Tingkatan 6, Johor Business Summit, Jelajah Mahasiswa Johor, Mercu Tanda Tahun Melawat Johor 2026 serta persediaan menghadapi Monsun Timur Laut.

Mohd Jafni berkata segala inisiatif ini mencerminkan kepimpinan Menteri Besar yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat.

“Inisiatif bernilai ratusan juta ini bukan sahaja mengurangkan beban sara hidup, malah mengangkat martabat rakyat Johor agar seiring dengan kemajuan negeri. Inilah Johor yang kita banggakan, negeri makmur, maju dan inklusif,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO