Johor Umum 42 Inisiatif RM209 Juta, Perkukuh Tindakan Bencana Termasuk Gempa Bumi
JOHOR BAHRU, 12 Sept – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dalam menangani cabaran kos sara hidup serta memperkukuh kesiapsiagaan bencana dengan pelaksanaan pelbagai langkah strategik demi kesejahteraan Bangsa Johor.
Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Negeri Johor Yang Ke-15 semalam, dengan sebanyak 42 inisiatif baharu dengan peruntukan RM209 juta diumumkan bagi membantu rakyat.

“Inisiatif ini meliputi pelbagai segmen masyarakat termasuk bantuan tunai one-off kepada anak muda, warga emas, pesakit kronik, ibu bapa, keluarga, usahawan kecil, penjaja serta petugas barisan hadapan. Semua ini direalisasikan hasil sokongan rakyat, pelaburan, dan pengurusan ekonomi negeri yang berkesan,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Onn Hafiz turut menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas ilham penubuhan Inisiatif Infaq Jumaat Johor yang menurut beliau menjadi inspirasi kepada kerajaan negeri untuk terus mengutamakan kebajikan rakyat.
Dalam pada itu, beliau turut menjawab persoalan berhubung insiden gempa bumi yang melanda negeri terbabit baru-baru ini dengan menekankan bahawa kesiapsiagaan dan bantuan segera sentiasa menjadi keutamaan.
“Sejurus kejadian pertama, bilik gerakan bencana diaktifkan 24 jam, penilaian bangunan dilaksanakan oleh JKR dan PBT, dan bantuan segera disalurkan. Kerajaan Negeri turut mengumumkan bantuan maksimum sehingga RM3,000 kepada setiap keluarga yang terkesan,” katanya.
Bagi langkah jangka sederhana, beliau menjelaskan bahawa sistem amaran awal diperkukuh dengan menaik taraf enam stesen seismologi sedia ada serta membina dua stesen seismik tambahan dengan peruntukan RM3 juta yang diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam jangka panjang, kajian saintifik mengenai garisan sesar, piawaian bangunan tahan gempa, serta pemetaan risiko seismik akan terus dilaksanakan demi keselamatan rakyat Johor.”
Menurut beliau, peristiwa gempa bumi tersebut menjadi peringatan agar semua pihak sentiasa berwaspada dan tidak leka.
“Teknologi dan ikhtiar tetap penting, namun sebagai hamba Allah SWT kita perlu memperbanyakkan doa agar Johor sentiasa dilindungi daripada musibah,” ujarnya.
Beliau optimis bahawa dengan usaha berterusan, Johor bukan sahaja mampu melindungi rakyat daripada risiko bencana, malah terus menjadi negeri maju yang mengutamakan kesejahteraan semua golongan masyarakat. – UMNO Online
